KUALA LUMPUR: Projek pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dijangka dapat menarik pelaburan berjumlah RM72 bilion dalam tempoh 25 tahun akan datang sekali gus menjadikan Perak sebagai pusat pelaburan terkemuka.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pembangunan LuMIC akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 2026 untuk tempoh 25 tahun dan berpotensi mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan.
Beliau berkata, ia juga membuka ruang baharu kepada usahawan serta peniaga tempatan mengikut keperluan pasaran serta menepati arus global seperti ekonomi hijau, biru dan digital.
Katanya, dibangunkan di dalam kawasan seluas 9,307 hektar, LuMIC bakal merangkumi pelabuhan bertaraf antarabangsa, zon perindustrian mesra alam dan bandar pintar yang lestari.
“Perak yakin pelabur domestik dan asing melihat potensi besarnya sebagai destinasi pelaburan masa depan, khususnya bagi projek-projek berimpak tinggi dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang,” katanya ketika melancarkan hasil kajian kebolehlaksanaan projek LuMIC di sini, hari ini.
Kajian kebolehlaksanaan projek LuMIC yang dilaksanakan oleh Kesatuan Eropah (EU) akan membolehkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), bersama rakan kerjasama Port of Antwerp-Bruges International (PoABI), menyediakan cadangan pembangunan dan pelan induk projek.
Saarani berkata, kerajaan negeri yakin projek itu mampu memberikan impak yang besar ke arah menjadikan Perak sebagai hab industri, pengangkutan dan maritim, sekali gus menjadi destinasi pelaburan yang ideal.
“Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, projek-projek berimpak tinggi ini akan mula menunjukkan kemajuan fizikal yang ketara, dan seterusnya memperkukuh kedudukan Perak sebagai antara negeri terkehadapan dalam pembangunan ekonomi negara.
“LuMIC turut memperkukuh infrastruktur awam termasuk sistem pengangkutan dan kemudahan pendidikan, yang secara langsung meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Bersama pelaksanaan Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Negara (RDICE), sumbangan sektor marin dan maritim kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dapat dipertingkatkan daripada 21.3 peratus kepada 31.5 peratus menjelang 2030 atau sekitar RM1.4 trilion,” katanya.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, Malaysia khususnya Perak berpotensi menerajui ekonomi biru melalui sektor perikanan, pelancongan maritim, tenaga boleh diperbaharui dan bioteknologi marin, dengan Perak pada 2023 menyumbang 22.8 peratus kepada jumlah pengeluaran perikanan negara.
Beliau berkata, pembangunan LuMIC dijangka dapat melonjakkan ekonomi biru Perak serta Malaysia, sekali gus menjadi antara pemain utama serantau.
Menurutnya, LuMIC juga berupaya menangani cabaran global melalui pendekatan lestari seperti pengurangan karbon, penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta pembentukan rantaian bekalan yang berdaya tahan.
“Projek itu turut menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), menjadikan Perak antara pelopor kemampanan maritim di ASEAN,” katanya.
Saarani berkata, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan akan terus memberikan sokongan menyeluruh bagi menjayakan pembangunan infrastruktur mampan, meningkatkan aktiviti ekonomi serta memperkasa kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Katanya, asspirasi LuMIC bukan sahaja diukur dari skala pelaburan dan luas tanah, tetapi juga pendekatan pelaksanaan yang telus, cekap dan berasaskan tadbir urus terbaik.
Malah, menurutnya penubuhan LuMIC Development Sdn Bhd (LuMIC DevCo), sebuah entiti tujuan khas antara PKNPk bersama rakan kerjasama PoABI dalam menyelia pembangunan dan pengurusan projek mencerminkan kerjasama strategik awam-swasta yang progresif serta berimpak tinggi.
Source: Bertia Harian


